KUALA LUMPUR: Kehilangan pesawat MH370 yang membawa 239 orang
termasuk 12 kru dipercayai dirampas atas arahan Presiden Russia,
Vladimir Putin dan mendarat secara rahsia di Kazakhstan, kata seorang
pakar.
Selepas memalsukan data sistem pandu arah MH370 supaya ia dilihat
seakan-akan menuju ke selatan Lautan Hindi, kumpulan perampas akhirnya
mendaratkan pesawat jenis Boeing 777-200ER itu di Kazakhstan.
Penulis sains rakyat Amerika Syarikat (AS), Jeff Wise, yang juga
terbabit dalam liputan siaran televisyen CNN mengenai MH370 sebelum ini
berkata, data 'ping' atau isyarat berbalas antara pesawat dan satelit
Inmarsat itu selama ini 'dipalsukan'.
Beliau berkata, data dirakam satelit telekomunikasi milik syarikat
British itu hanya untuk mengalih tumpuan orang ramai dan misi pencarian,
bagi memberi laluan plot rampasan yang diarahkan Putin berjalan lancar.
Menilai keseluruhan 'drama' di sebalik misteri kehilangan MH370, Wise
menyuarakan keyakinan bahawa pesawat itu sebaliknya berada di Baikonur
Cosmodrome, iaitu tapak pelancaran roket terbesar di dunia yang terletak
kira-kira 200 kilometer di timur Laut Aral, Kazakhstan.
"Tujuh jam sudah memadai untuk kumpulan perampas melaksanakan
rancangannya kerana tumpuan pasukan pencarian ketika itu berada di Laut
China Selatan, sebelum akhirnya beralih ke Lautan Hindi.
"Perkara pelik di sebalik rampasan ini ialah apa motif sebenar Putin untuk 'mencuri' sebuah pesawat sarat dengan penumpang.
"Meskipun boleh dikatakan tidak masuk akal, Russia cukup terkenal
dengan pelbagai operasi khas yang akhirnya mempunyai tujuan tertentu,"
katanya seperti dilaporkan portal berita Daily Mail, semalam.
Mengulas lanjut, Wise menjangkakan tindakan Putin adalah semata-mata
untuk menunjukkan 'taring' Russia, khususnya merancang serangan balas
terhadap negara Barat pada bila-bila masa.
Rampasan yang didakwa didalangi Russia itu, katanya, antara lain
reaksi balas Putin terhadap sekatan pertama yang dikenakan terhadap
negara Soviet pada 7 Mac tahun lalu iaitu sehari sebelum MH370
dilaporkan hilang.
"Ada pelbagai kemungkinan termasuk pesawat ini akan dipenuhi dengan
muatan bahan letupan satu hari nanti untuk dilancarkan terhadap musuh
Russia sebagai serangan balas.
"Mungkin juga ada individu di dalam pesawat itu yang mempunyai kepentingan kepada Russia," katanya. - Mail Online Kredit Bharian
0 Response to "Vladimir Putin arahkan pasukan khas Russia rampas MH370 - Pakar"
Post a Comment